Sunday, January 30, 2011

Aku & Gunung Tahan 2004


HIJAU BUMI TUHAN 

sekali ku memandang kehijauan saujana mata
semusim yang benderang hati riang nikmatnya tuhan
kita belalah bersama-sama
kita jagalah harmoninya
semusim ia datang keindahan ciptaan tuhan
hijau yang terbentang makhluk tuhan bermesra-mesra
kita belalah bersama-sama
kita jagalah harmoninya
damai terperi kicau bernyanyi
burung berkicauan riang terbang
ombak menghempas pantai menanti
indah biru laut ini pasti
salam diberi insan di bumi
itu nikmat hari hari ini
tegur dan sapa senyum ketawa
itu tanda kita riang
abadikan keindahan ini 

lagu: izo xpdc
lirik: j.s kevin 


Aku & Gunung Tahan


28 Ogos 2004

Aku sampai di rumah Ruslan ( Ketua XPDC ) di Sri Rampai pada pukul 9.00 malam.  Di sana aku diperkenalkan dengan dua rakan baru yang sebelum ini aku belum pernah kenali iaitu Balok dan Mat Rock. Selain Lan ( Ruslan) XPDC ini di sertai oleh Zizi, Pak Abu, dan Azam.  Kesemuanya termasuk aku, 7 orang yang akan menjayakan XPDC ini.  Sehingga kini aku masih tidak mengenali nama sebenar mereka. Hanya Aku dan Azam yang belum pernah menawan puncak Gunung Tahan.  Mereka yang lain telah pun berjaya menawan puncak beberapa kali sebelum ini. 

Aku terpaksa mengemas kambali beg aku kerana di tambah dengan muatan baru iaitu makanan untuk di bawa di dalam XPDC ini.  Setiap orang diagihkan tugas masing-masing untuk membawa makanan dan peralatan khemah yang lain.  Sudah menjadi amalan setiap peralatan dan makanan akan diagihkan sama rata kepada semua orang. 

Tepat jam 10.30 malam, kami bertolak ke Kuala Tahan menaiki van yang telah di sewa khas untuk menghantar dan mengambil kami di Kuala Tahan.  Dengan menggunakan Lebuhraya baru pantai timur perjalanan kami mengambil masa 4 jam untuk sampai di Kuala Tahan.  2.30 pagi kami sampai di perkarangan surau Kuala Tahan.  Kami bermalam di sebuah rumak kepunyaan Fuad iaitu rakan kami yang tinggal tidak jauh dari surau tersebut.  Sepatutnya XPDC ini turut juga di sertainya tetapi akibat mengidap sakit mata, maka hasrat itu terpaksa di batalkan.  Rata-rata antara kami agak kecewa kerana Fuad adalah seorang jurupandu Gunung Tahan yang sangat mahir dan arif tentang selok belok hutan Taman Negara ini.  Dia juga seorang yang periang.  Perjalanan tadi agak meletihkan, kami semua terus tidur setelah mengemaskan beg masing-masing.  Tidur yang cukup perlu kerana selepas ini kami akan menempuh satu perjalanan sukar……

29 Ogos 2004

Seawal pagi semuanya telah pun berkemas dan bersiap untuk memulakan XPDC ini.  Dari rumah Fuad, kami menaiki Botnya untuk pergi bersarapan di Restoran Kuala Tahan. Perjalan mengambil masa lebih kurang 5 minit.  Semuanya perjalanan mengunakan sungai ini.  Selesai bersarapan kami pun bertolak ke Rumah Renjer. Sekali lagi kami terpaksa menggunaakan bot untuk sampai di sana.  Walaupun cuma seberang sungai tetapi bot memainkan peraanan penting!  Jauh disudut hati, aku terfikir bertapa Sungai Tahan ini sangat Penting kerana menjadi laluan utama kepada masyarakat setempat. 
 

Di rumah renjer kami di arahkan untuk mengosongkan beg kami.  Ini adalah kerana, pihak renjer ingin merekodkan barang yang di bawa oleh setiap anggota.  Suatu  yang  patut mendapat pujian ialah semua peralatan seperti tin, botol, tabung gas, pakaian, plastik, bateri  dan lain-lain di rekodkan dimana bilangan yang sama dibawa masuk adalah diwajibkan dibawa keluar. Pengalaman baru bagi aku dan  mendatangkan hasil  yang  positif bagi menanamkan sifat menjaga kebersihan sepanjang XPDC ini berjalan.  Sebelum memulakan perjalanan kami di perkenalkan dengan jurupandu kami yang ber nama Fadzli. Panggilan mesranya Tulang! Sesuai dengan nama panggilan Tulang sememangnya bersusuk badan yang kurus dan kecil.  Tulang baru berusia 22 Tahun dan mempunyai pengalaman selama dua tahun dalam bidang jurupandu Gunung Tahan.  Walaupun kecil, kami tidak memperkecilkan beliau apatah lagi dengan pengalaman yang ada padanya.  Aku juga di beritahu beliau, telah menaiki puncak gunung tahan sebanyak 8 kali dalam tahun ini. Sebenarnya beliau baru sahaja turun dari puncak gunung tahan pada 25 Ogos 2004 yang lalu, oleh kerana tiada jurupandu yang lain pada ketika ini, maka dia dengan berbesar hati sudi menjadi jurupandu kami walaupun penat belum lagi hilang! Kami bersyukur dan berterima kasih pada Tulang.
 11.00 pagi, bermulalah XPDC ku menawan puncak Gunung Tahan.  Perjalan hari ini tidaklah mencabar.  Lan memberitahuku, hari ini hanyalah sesi memanaskan badan dan merenggangkan otot.  Tiada laluan mencabar, aku hanya melalui laluan datar sahaja sepanjang perjalanan.  Sepanjang perjalanan, aku dan rakan-rakan yang lain sentiasa menyanyikan lagu Menuju Puncak yang menjadi lagu tema Akedemi Fantasia, kini menjadi lagu tema kami! “Terus lagi mendaki ke puncak tertinggi, mimpi jadi reality”. Begitulah baris kata yang sentiasa bermain di bibir kami.  Ini semua idea Lan.   Dialah yang memulakan dulu.

Ketika hendak sampai di checkpoint yang pertama barulah aku terpaksa mendaki satu bukit iaitu Bukit Melantai.  Aku sampai di checkpoint MELANTAI pada pukul 3.45 petang. Ketika itu Lan, Zizi, dan Azam telah pun sampai dahulu.  Perjalanan dari Rumah Rejer ke sini adalah sejauh 12 KM mengambil masa lebih kurang 4 jam 45 minit.  Tapak perkhemahan ini agak besar dan berhampiran dengan sebatang sungai.  Air sungai ini sangat jernih dan kelihatan ikan-ikan berenang bebas.  Di seberang sungai, kelihatan denai hutan yang curam, inilah perjalanan kami esok. ( Ini pasti memerah tenaga, hatiku terasa dicucuk duri ). Setelah berehat seketika, kami mula memasang khemah dan masak untuk makan malam. 

Di dalam desiran aliran sungai yang gemersik dan bunyian ungas-unggas rimba, aku akhirnya terlelap dengan seribu bayangan yang bakal ditempuhi pada hari esok........zzzzzzzzzz

30 Ogos 2004

Setelah menunaikan solat subuh, kami mula memasak untuk sarapan pagi dan ada pula sedang mengemas beg masing-masing.  Setelah selesai bersarapan, 8.30 pagi kami meneruskan perjalanan. Seawal pagi aku telah di hidangkan dengan Bukit Jerman. Penat jugak untuk sampai di puncaknya. Aku sampai di puncak pada pukul 9.30 pagi. Terasa peluh mula keluar mencurah-curah.  Selepas itu aku di kerahkan untuk mendaki Bukit Jepun. 10.50 pagi aku sampai di puncaknya.  Pada pukul 11.40 pagi aku dan rakan yang lain berjaya menawan puncak Bukit Tengah. Di sini terdapat punca air .berbeza dengan 2 bukit sebelumnya tidak mempunyai punca air.  Kami meneruskan perjalanan setelah berehat seketika untuk menghilangkan penat.  Aku diberitahu bahawa selepas ini aku perlu mendaki satu gunung yang di beri nama Gunung Rajah.  Tepat pukul 1.30 petang, aku berjaya menawa puncaknya. Permandangan dari puncak gunung Rajah ini sungguh memukau jiwa. Dari sini aku di tunjukkan puncak gunung Tahan. Terbayang keindahan alam dan permandangan dari puncaknya.  Semangat dan keazaman semakin membara untuk menawan puncak Gunung Tahan.  Sebelum itu aku terpaksa menempuh satu bukit yang di beri nama Bukit Malang.  Malang sungguh nak melaluinya.  Penat terasa tak terucap!

3.30 Petang aku tiba di checkpoint ke dua iaitu checkpoint PUTEH. Perjalanan melangkaui 13 KM dari Melantai.  Penat gilerrrrrrr…… rasa macam nak tercabut tempurung lutut. Kepenatan sememangnya terasa dan Mental teruji apabila melalui perjalanan dari gunung Rajah ke Puteh.  Kesabaran aku hampir sampai ke kemuncak apabila telinga telah mendengar bunyian air tetapi tempat yang di tuju tidak kunjung tiba. Di sinilah kesabaran dan keutuhan mental aku di uji.  Aku bersyukur kerana selamat sampai di Puteh.  Di sini terdapat banyak lebah yang mengelilingi aku dan rakan-rakan.  Aku kurang selesa dengan keadaan ini.  Aku lebih banyak melakukan aktiviti di tepi sungai kerana di sini aku tidak di ganggu lebah.  Malam baru lebah itu pulang ke sarang. 

Selesai makan malam, kami semua tidur dalam kepenatan….. zzzzzzzzzzzz waaaaaaaaa penatttttt………………..

31 Ogos 2004

Merdeka!... Merdeka!... Merdeka!...

Sebelum memulakan perjalanan, Lan dan Aku telah menggantung makanan yang akan kami makan untuk perjalanan pulang nanti.  Selain itu aku juga telah menggantung beg kecilku kerana dah tak sanggup lagi membawanya untuk perjalanan seterusnya.  Aku memulakan perjalan pada pukul 8.30 pagi.  Kali ini untuk sampai ke checkpoint seterusnya iaitu checkpoint Teku, aku terpaksa melintasi 8 batang sungai besar dan beberapa anak sungai. Cuaca hari ini sungguh baik.  Aku diberitahu sangat bertuah kerana paras air sungai hari ini tidak sedalam ketika melaluinya dalam XPDC yang lalu.  Pernah ada yang terpaksa mengangkat beg hingga ke atas kepala untuk menyeberangi sungai tersebut. Alhamdulillah aku tak perlu berbuat begitu.  Di dalam perjalanan, sesuatu yang tak di ingini telah berlaku, sebelah kasut Mat Rock telah di bawa arus sungai dan gagal di selamatkan. Kesian dia!  Mujur Mat Rock ada membawa selipar Teva, kalau tidak ada yang terpaksa berkaki ayam meredah hutan berduri.  Perjalanan kami di teruskan, aku sampai di Checkpoint Teku pada pukul 11.00 pagi. Jarak perjalanan Puteh  ke Teku ialah 7 km. kami berehat sambil makan tengahari disini.
 

Disinilah dikatakan kaki Gunung Tahan.  Selepas ini perjalanan dikatakan hanya mendaki dan tiada lagi laluan senang.  Aku mendengar sambil berkata di dalam hati, mampukan aku menawan Puncak Tahan? Aku tetap akan berusaha. Kalau mereka yang lain boleh, aku pasti BOLEH!

12.00 tgh aku meneruskan perjalanan.  Cabaranku yang pertama adalah menawan puncak Bukit Botak.  Pendakian yang tiada hentinya. Akhirnya aku sampai jua pada pukul 1.00 ptg di puncak Bukit Botak.  Kawasanya sememangnya botak. Panas terik sekali. Peluh mencurah-curah sambil menunggu yang lain tiba.  Dari sini aku dapat melihat pemandangan yang indah, terbentang luas bukit bukau menghiasi permandangan.

Seterusnya aku kepenatan untuk sampai ke puncak Bukit Sarsi.  3.00 petang baru aku sampai. Adus penat sungguh terasa di hati. Rasanya ingin saja mengaku kalah tetapi semangat yang berkobar-kobar terus membakar semangat aku untuk terus mendaki dan menawan puncak Gunung Tahan. Aku pasti BOLEH sebab MALAYSIA BOLEH!

4.10 petang aku sampai Wray's camp yang terletak di puncak sebuah gunung (Mungkin Gunung Wray's).  Permandangan sini indah dan ditemani dengan udara yang segar.  Di sini, aku sudah mulai terasa suhu semakin sejuk. Angin kekadang bertiup spoi-spoi bahasa menambahkan semangatku untuk sampai ke Checkpoint seterusnya iaitu Checkpoint Pangkin Bawah. 

Akhirnya aku sampai jua di Pangkin Bawah pada pukul 5.10 petangPenat terasa bukan kepalang. Tapak kaki kiriku telah pecah tapi itu tidak mematahkan semangatku untuk meneruskan perjalanan.

Kami berkhemah dan bermalam di sini.  Di sini kami bertemu dengan satu kumpulan Cina yang kata mereka datang dari Melaka.  Orang yang paling gembira adalah Tulang. Ini adalah kerana jurupandu kumpulan tersebut adalah rakan karibnya. 

Suhu di sini sangat sejuk terasa sampai ke tulang.  Tidak jauh dari tapak khemah terdapat satu punca mata air.  Aku terpaksa melalui satu curam untuk sampai di situ. Airnya sejuk sekali seolah-olah berada di dalam peti ais.

Selesai makan malam kami pun tidur.  Malam itu hujan turun dengan lebat.  Aku risau kalau-kalau beg aku basah.  Tentu perjalan esok lebih sukar kerana muatan bertambah berat akibat beg yang basah. Aku hanya bertawakal dan berdoa pada Allah S.W.T untuk permudahkan perjalananku esok.


01 September 2004

Aku seperti biasa orang terawal bangun dan mengejutkan yang lain.  Aku dan rakan yang lain gerak terlebih dahulu sebelum kumpulan Cina yang sama berkhemah di situ.  Permandangan di sini berubah dari hutan belantara yang tebal menjadi pokok pokok renik dan bongsai yang unik.  Langit yang membiru, udara yang sejuk menyegarkan aku.
ni org kuat gunung... dr kiri: Pak Abu, Lan (My Sifu@Mentor), & Mat Rock
Perjalanan ke Gunung Tangga Lima Belas menarik juga.  Di samping permandangan yang indah, kami juga memanjat tebing gunung yang curam.  Sekitar kami termasuk denai seperti dibentuk oleh akar-akar pokok.  aku tiba di Gunung Tangga Lima Belas pada pukul 10.30 pagi.

Perjalanan ke Gunung Reskit hanya menurun.  Aku dapat rasai aku menurun jauh lebih dari menaik.  Aku tiba di Gunung reskit pada pukul 11.30 petang.  Aku rehat selama 15 minit sebelum meneruskan perjalanan. ( Suatu hal yang amat aku sesali ialah tidak dapat menikmati keindahan sini, kerana masa yang tidak mengizinkan).
 

Apa yang berada di depan aku adalah sebuah gunung yang amat tinggi.  Aku rasa aku perlu bersusah lagi.  aku mulai memasuki hutan yang tebal.  Diteduhi pokok-pokok yang tua.  Akhirnya, aku memasuki laluan yang sangat curam dipanggil Dinding.  Tulang mengingatkan aku agar berhati-hati kerana kesilapan yang kecil pun boeh membawa padah.  Sambil berseloroh dia berkata “kalau jatuh kebawah ni alamat kutip dengan sudu la jawabnya!” begitu la betapa bahayanya laluan di Dinding ini.  Kami mengambil giliran untuk memanjat Dinding tersebut.  Namun, kemahiran yang ada kami memadai untuk menyelesaikan kesemua ini.  Masa berlalu, aku masih bergerak dalam denai hutan yang masih mencuram.  Keletihan mula tertunjuk pada muka setiap orang, walaupun tidak dicakap tetapi dapat dijangka.  Aku mulai ragu akan denai yang aku lalui.  Mengapa sudah 2 jam perjalanan dari Gunung Reskit, masih belum jumpa Kem Gunung Gedong?
Akhirnya, aku seakan tiba di puncak.  Kepala aku seakan muncul dari bawah tanah dan jauh mata aku memandang.  Begitu luasnya permandangan.  aku tiba di Puncak Gunung Gedong pada pukul 1.10 petang.  Wow, permandangan indah sekali lagi kelihatan. Maha Suci Allah Tuhan Sekelian Alam!!!!.
Aku dan rakan yang lain berhenti seketika untuk berehat dan memasang Khemah.  Setelah selesai semuanya, kami meninggalkan Beg besar kami dan membawa beg kecil dengan kelengkapan yang perlu sahaja.  Dengan ini pergerakan kami lebih cepat.  Perjalanan aku seterusnya di sajikan dengan permandangan yang sungguh indah.  

 
menurut kata Lan, ini adalah sebahagia daripada bangkai Kapal terbang ygteerhempas disini...


 
 

Alhamdulilah tanggal 01 September 2004, Hari Rabu pada pukul 4.15 Petang aku telah berjaya menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Puncak Gunung Tahan.  
  

Gembira tak terkata.  Tak terucap rasa syukur pada Ilahi kerana membenarkan aku mencapai cita-citaku untuk menawan puncak!  Aku bersalaman dengan yang lain tanda ucapan tahniah atas kejayaan menawan puncak ini.  Keindahan pemandangan di sini tidak terucap.  Tiada ungkapan sesuai untuk mengilhamkan kata-kata bagi menggambarkan kebesaran Allah S.W.T dalam mencipta permandangan yang sungguh indah. Tiada pencemaran alam di sini.  Semuanya bersih dan menarik sekali.  Sebelum turun, aku, rakan-akan yang lain dan juru pandu sempat bergambar bersama untuk kenang kenangan. Rasa sayu untuk meninggalkan puncak Tahan ini.  
wa n Tulang da Guilder
cuba bayangkan milik sapakah tapak kaki ini???....
 
 
All 4 One, One 4 All...
Lan, Zizi dan Tulang turun dahulu sementara aku dan yang lain masih lagi berada dipuncak untuk menikmati udara puncak buat kali terakhir.  Pada pukul 5.30 petang dengan berat hati  aku, Azam, Pak Abu, Mat Rock dan Balok mulai menyusul turun dari puncak.  Di pertengahan jalan hujan mulai turun.  Rasa sejuk mulai menyelubungi aku.  Nasib baik ada bawa baju sejuk yang tebal, kurang la sedikit rasa sejuk itu.  Hari semakin gelap dan laluan semakin kabur.  Aku mempercepatkan perjalanan.  Walaupun setiap orang mempunyai lampu suluh, perjalanan  masih sukar kerana cuaca yang gelap dan berkabus membataskan penglihatan setiap orang.  Setelah berjalan hampir tiga jam, akhirnya kami sampai jua di tapak perkhemahan pada pukul 8.30 malam.  Aku dan rakan yang lain di sambut dengan sorakkan tepukkan gemuruh dari kumpulan Cina yang telah tiba di Puncak Gedung ini pada pukul 4.30 petang.  Mereka akan menawan puncak Tahan pada esok hari.  Hari inilah hari yang paling lama aku berjalan.  Kira aku buat Over time laa hari ni!


Sesampai di khemah, aku lihat Lan sedang sibuk untuk menyiapkan makan malam kami.  Senyuman masih lagi terpancar di setiap wajah rakan-rakan.  Aku masih lagi menyanyikan lagu Menuju Puncak.  Terasa penuh bermakna lagu itu walaupun aku tidak berminat pada rancangan akedemik Fanasia!   Selesai makan malam, makanan yang masih ada di kumpul dan di ikat dengan kemas kerana di fahamkan di sini terdapat tikus yang sangat besar.  Saiznya hampir sama dengan seekor kucing!  Aku tidur satu khemah dengan Azam  dan Zizi.  Malam itu aku tidur dengan lena di buai mimpi indah……. Yahoooooo aku dah menawan puncak! zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz...

02 September2004

Seawal pagi aku telah bangun untuk melihat pemandangan matahari terbit.  Peehhhh sunguh indah dan menakjubkan.  Terasa begitu kerdil aku di sisi Alah S.W.T.  Aku sempat merakamkan beberapa keping gambar untuk tatapan di kemudian hari.  
 
 
 

 Ketika aktiviti menyediakan sarapan pagi berlangsung, aku di kejutkan dengan kehilangan dua botol yang mengandungi minyak masak.  Rancangan untuk mengoreng bihun terbantut.  Terpaksa la kami ubah menu kepada bubur akibat ketiadaan minya masak yang di syaki telah di bawa lari oleh sang tikus.  Mungkin bukan rezeki kami!
 
Dalam kemalasan kesemuanya mulai menurun dari Puncak Gedung pada pukul 10.00 pagi.  Sekali lagi Dinding menjadi cabaran utama.  Semuanya menurun dengan penuh berhati-hati.  Ketika menurun inilah keadaan Fizikal kita di uji dengan sepenuhnya.  Pengalaman mengajar bahawa laluan menurun lebih mencabar dari mendaki.  Masing-masing sentiasa berwaspada apabila melalui laluan yang mencabar ketika berhadapan dengan batu-batu yang curam.  Di sepanjang perjalanan, aku masih lagi dapat melihat keindahan alam buat kali terakhir.  Aku sampai di Checkpoint Teku pada pukul 3.30 petang.  Sebelum aku, Lan, Zizi dan Pak Abu telah sampai terlebih dahulu kemudian diikuti oleh Azam, Mat Rock dan Balok.  
Inilah area DINDING yg dikatakan kalau jatuh kena kutip ngan sudu... gerun tu...
 
Setelah berehat seketika melepaskan penat lelah, aku dan yang lain mula memasang khemah dan memasak untuk makan malam.  Ketika memasak, macam cerita kami bualkan. Suka duka diluahkan.  Masing-masing ketawa mendengar mengingatkan keperitan sebelum ini untuk sampat di puncak.  Setelah selesai makan malam, aku dan rakan yang lain masih lagi tidak mahu tidur kerana kami telah sedia maklum esok adalah perjalanan yang sangat pendek iaitu dari Teku ke Puteh.   Perjalanan menyusuri sungai yang mungkin mengambil masa hanya 4 jam.  Ketika berbual itulah satu peristiwa ganjil telah berlaku.  Tiba-tiba aku terbau sesuatu yang sangat harum.  Bulu roma dah tegak mencanak.  Seram terasa di hati.  Masing-masing memandang antara satu sama lain.  Tiada sepatah pun perkataan terucap pada waktu itu.  Selepas itu, seorang demi seorang masuk tidur tanpa berkata apa-apa.
Zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz tidur lagi……………..

03 September 2004
Selepas sarapan ala kadar, aku memulakan perjalanan pada pukul 10.30 pagi.  Perjalanan bermula dengan baik sekali, tiada apa yang berlaku hinggalah di separuh jalan aku telah di landa dengan ‘muscle pain” di bahagian atas lutut sebelah kanan.  Sakit bukan kepalang ketika hendak menuruni batu atau bukit.  Perjalanan menjadi sukar di tambah pula hujan turun dengan lebat ketika itu.  Perjalanan yang ku sangka dekat (7km) kini kurasa seperti berbatu-batu jauhnya.  Aku hampir mengangis mengenangkan keperitan yang aku alami.  Aku berjalan tak ubah seperti ketam.  Kalau ketam tengok aku waktu tu tentu dia ketawa melihatnya!  Aku adalah orang yang terakhir tiba di Puteh.  
Ketika berkemas untuk memasang khemah, Tulang telah pulang membawa seekor ikan Sebarau yang di pancingnya.  Keriang terpancar di setiap wajah kerana terbayang hidangan yang paling sedap sepanjang XPDC ini akan dapat di nikmati pada malam ini.  Malam itu kami makan nasi berlaukkan ikan Sebarau masak asam.  Sedap betul Lan masak.  Nasi masak dua kali kerana tak cukup. Memang sedap!!!.
Selepas makan malam, aku menyapu ubat pada bahagia yang sakit dan terus tidur.  Aku ingin berehat dengan secukupnya kerana esok perjalanan sejauh 25km menanti untuk di harungi.  Aku tak dapat bayangkan apa akan terjadi esok.  Tentunya menyukarkan kerana dalam situasi aku yang sakit ini! Semoga Allah bersamaku.  Itu sahaja doaku sebelum tidur! Zzzzzzzzzzzzzzzz waaaaaaaaaaaa…………… sakit!
04 September 2004 (Hari terakhir)

Selepas berkemas dan memastikan tapak perkhemahan telah bersih, aku bertolah menuju ke Rumah Renjer sejauh 25km.  Perjalanan sungguh menyukarkan. Kaki kananku terasa sakit.  Pergerakkan aku menjadi pelahan.  Aku menjadi orang terakhir berjalan.  Aku di temani Tulang.  Aku telah mengingatkan beliau untuk tidak meninggalkan aku keseorangan kerana takut terjadi sesuatu yang buruk akibat kecederaan yang aku alami. Dengan susah payah aku menawan puncak Gunung Rajah sejam setengah kemudian.  Aku tidak berehat lama kerana tahu perjalanan masih jauh.  Selepas membasahkan tekak dengan bekalan air yang dibawa, aku meneruskan perjalanan dalam keperitan.
Setelah mengharungi Bukit Malang, Bukit Tengah, Bukit Jepun, Bukit Jerman dan bukit lain yang tidak bernama, akhirnya aku sampai jua di checkpoint Melantai pada pukul 2.15 petang.  Ketika itu semuanya rakan-rakan yang lain telah lama sampai dan bersiap meneruskan perjalanan.  Aku tidak menunggu lama, aku meneruskan perjalanan.  Kesabaranku teruji lagi kerana aku membayangkan selepas Melantai laluan hanyalah mendatar rupanya tidak!  Rupa-rupanya, aku terpaksa mendaki satu bukit iaitu Bukit Melantai.  Aku berjalan dalam keperitan dan kepayahan untuk melepasi bukit tersebut.  Ingin saja ku maki tapi pada siapa?  Tulang masih setia menemaniku.  Aku bersyukur…… selepas bukit itu laluan mulai mendatar tetapi aku tetap terasa sukar kerana kaki kiriku pula terasa sakit.  Pada tika ini aku mula terfikir mengapalah aku masuk hutan ini.  Apa yang aku dapat?  Segalanya terpapar dalam pita ingatan! Aku menyabarkan diriku dengan mengingati kejayaanku Menawan Puncak Gunung Tahan! Kalau Puncak Gunung Tahan aku boleh tawan mengapa tidak dengan cabaran ini!
Dalam kepayahan dan kepenatan akhirnya aku sampai jua di Rumah Renjer pada pukul 6.30 petang.  Semua rakanku menyambutku dengan tepukan gemuruh dan kata-kata semangat.  Saat itu hilang seketika rasa sakit di kakiku.  Selain dari rakan-rakanku, terdapat juga kawan-kawan mereka yang datang ke sini untuk menyabut kepulangan kami.  Aku diperkenalkan kepada Beranang, Penyu, Lawak, Mat Ikan, Spark  dan tiga orang gadis yang aku lupa nama mereka.
Aku seakan tidak percaya bawa aku telah mengharungi 7 hari 6 malam didalam hutan menawan Puncak Gunung Tahan dan kini aku telah kembali berada di hadapan Rumah Renjer! Yes….. aku dah berjaya… yahoo….. Alhamdulillah Syukur kepada Allah S.W.T.
Setelah mengistiharkan barang-barang kepunyaanku, Pegawai itu membenarkan kami pulang.  Terkengkang-kengkang aku berjalan hingga aku menjadi bahan jenaka mereka.  Kejayaan menawan puncak membuatkan aku seronok walaupun di tertawakan!  Aku pulang ke rumah Fuad menaiki bot dengan membawa 1001 kenangan yang terlalu mahal nilainya……… 
05 September 2004

Selepas membeli belah seadarnya, aku mulai bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur.  Rasa sedih untuk meninggalkan Kuala Tahan dan Taman Negara serta Gunung Tahan.  Aku pasti suatu hari nanti jika di izinkan Allah aku akan kembali lagi kesini.

4.50 petang aku bertolak pulang menaiki Van tempoh hari.  Kami singgah minum petang di Resort kepunyaan bapak mentua Mat Ikan dan kemudian menyambung kembali perjalanan yang terhenti.
"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, kenangan dikenang dihari kemudian..."
Aku tiba di rumah bujangku pada pukul 1.00 pagi.

T. A. M. A. T

“Take Nothing But Foto, Leave Nothing Except Foot Print”

No comments:

Post a Comment