Tuesday, June 21, 2011

kesenangan dan kesukaran suatu ujian


 Kesukaran kehidupan adalah suatu lumrah kehidupan, adakalanya kita merasakan begitu sukar hidup ini dan memerlukan perubahan, kita mempersoalkan kenapa kita begitu banyak melalui kesukaran dan ada pula orang yang begitu banyak kesenangan yang diperolehi oleh mereka.  Namun jika kita menilai semula begitu ramai orang yang lebih sukar kehidupan mereka dari diri kita.  Jika kita merasakan begitu sukar untuk membesarkan anak, kita dapati ramai manusia yang diuji oleh allah swt dengan anak mereka menjadi seorang penagih dadah dan tentunya begitu kecewa kedua ibu bapanya bila mengetahui anak mereka terlibat dengan dadah.

 Ada satu kejadian baru-baru ini dimana seorang pembantu rumah telah dipanggil oleh rakannya seorang indonesia untuk menyambut seorang isteri bersalin, rupanya kelahiran anak itu songsang dengan kepalanya diatas. Betapa deritanya untuk melahirkan seorang anak, namun apa yang begitu memeranjatkan ibu yang melahirkan anak tersebut telah tidak makan selama tiga hari kerana tiada apa-apa yang boleh dimakan.  Mereka baru datang dari melaka dan suaminya pula telah ditangkap kerana PATI dan dihantar pulang ke Indonesia.  Lebih menyedihkan lagi tiada pakaian untuk bayi tersebut yang ada cuma kain batik buat diselimutkkan kepada bayi sebagai pakaian pertama bayi tersebut.

 Melihatkan keadaan bayi dan ibu tersebut, rasanya segala kesukaran yang ditanggung terlalu berat buat seorang ibu yang masih muda dan tentunya ada sebab-sebab mengapa Allah memberikan ujian tersebut kepada mereka.  Mungkin Allah SWT mahu kita yang melihatnya bersyukur terhadap pemberian Allah SWT yang begitu banyak kepada kita hari ini namun kita masih mahu mengeluh,  mungkin peristiwa ini mengajar kita untuk mula membantu manusia yang serba kekurangan kerana mereka tidak meminta untuk di uji sebegitu dan kita juga tidak pernah meminta untuk dilahirkan didalam keluarga senang dan penuh kasih sayang.  Mungkin peristiwa ini akan menginsafkan kita bahawa kita sebenarnya milik Allah SWT dan Allah SWT mampu mmenjadikan apa sahaja kepada diri kita.  Mengapa kita perlu sombong dengan sedikit kejayaan dan kesenangan pemberian Allah swt pada hari ini.

 Kehidupan yang kita lalui ini penuh dengan cabaran dan ujian yang disediakan untuk melihat samada hamba-hamba Allah SWT yang tiada kekuatan dan kemampuan boleh bersyukur dan berterima kasih diatas segala apa yang diperolehi oleh mereka.  Adakah kita mahu untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dan meletakkan Allah SWT dihadapan didalam apa sahaja keputusan kehidupan yang kita lakukan.  Apabila Allah SWT menguji seseorang tentu sekali Allah SWT yang Maha mengetahui, Maha adil, Maha sempurna tahu apa yang sepatutnya kertas ujian yang akan dilalui dan Allah SWT tidak pernah silap menyediakakn kertas ujiannya buat diri kita, setiap masalah yang diberikan mamang kita layak untuk menjawabnya dan kita perlu menjawab agar kita lulus peperiksaan tersebut.  Setiap masa dan peristiwa adalah kertas ujian untuk dijawab oleh kita untuk menguji iman samada kita bersyukur atau tidak terhadap pemberian Allah SWT kepada diri kita.  

"Hidup ini hanya sementara... laluilah ia dengan ketabahan dan ketakwaan.. pohonlah keredhaan dari DIA yang Maha Esa.... "








Nukilan Asal- Ibrahim Abd Rahman  

No comments:

Post a Comment